Wednesday, August 12, 2015

Susu! Susu! Susu!

Melalui rancangan Fiqh Wanita yang disiarkan oleh TV3, seorang penceramah mendakwa bayi yang diberi minum susu lembu akan cepat menjadi pemarah kerana DNA lembu yang sifatnya cepat marah telah masuk ke dalam badan bayi.

Secara saintifiknya susu ibu ’breastfeeding’ banyak kelebihannya berbanding susu lembu. Tetapi aku sendiri tidak pernah lihat bukti sahih secara saintifik sehinggalah suatu kejadian berlaku di depan mata sekitar tahun 1995/96 di sebuah sekolah di Perlis.

Selesai sahaja aku bersama rakan-rakan lain yang terdiri daripada Joe, Hasfa, Khai, Ham, Zul, Fahmy, Eddy, Amran, Norhizam & Azri membantu seorang guru mengemaskan buku-buku teks di dalam setor, kami diberi ganjaran untuk menikmati hidangan di kantin sepuas-puasnya tanpa perlu mengeluarkan wang. Seperti biasa “Masuk akaun Cikgu."

Belum sempat waktu rehat 10.00 pagi, kami pun bergegas ke kantin yang diusahakan oleh Mak Nen, seorang makcik berbangsa Siam Muslim. Mee Bandung, Mee Hailam dan Koew Teow Tom Yam dipesan setiap seorang. Sekitar tahun 1994-96 air botol Fanta Grape ‘tambah susu’ sangat popular. Ini adalah era sebelum popularnya air Neslo & Holo dinikmati di kedai-kedai  yang ada Radiogram.


Jadi setelah order air Fanta, seorang demi seorang dari kami ke kaunter dan meminta Mak Nen untuk menambah susu. “Mak Nen….nak susu," "Mak Nen….tambah susu” hinggalah orang yang terakhir iaitu Norhizam dengan tag line “Mak Nen…..nak susu." Mak Nen yang sudah kepenatan dan bosan menuangkan susu pekat Cap Junjung ke dalam gelas masing-masing akhirnya dengan nada yang lantang berteriak “Susu! Susu! Susu! Nah susu!” Dengan selambanya Mak Nen meletakkan "nenennya" pada gelas Norhizam. Susu Cap Junjung DNA lembu telah bertukar menjadi Susu Cap Gantung.

Kami yang ketika itu masih di Tingkatan 2/3 dan baharu saja belajar subjek sains tentang “Persenyawaan & Kehamilan” tergamam dengan tindakan lelucon Mak Nen. Keadaan di kantin gamat seketika. Ada yang ketawa terbahak-bahak dan ada juga yang masih trauma. Fenomena “Hantu Susu” 3 tahun sebelum itu masih segar di ingatan.

Tetapi benarlah susu ibu itu banyak kelebihannya sehingga mampu membuat kami tergamam. Tiada seorang pun di situ yang berasa marah dengan tindakan Mak Nen kerana susu yang cuba diberikan tidak mengandungi DNA lembu.


*Selepas kejadian tersebut, tambah susu dikenakan caj extra 20 sen.

Krisis Air & Amukan Ultraman Taro

Sedang krisis air Selangor masih berlarutan dan dipolitikkan, terkenang kembali sekitar lewat 90an di negeri Perlis yang tidak terlepas daripada menghadapi krisis bekalan air terutamanya pada tahun 1998. Fenomena El Nino yang melanda negara mengakibatkan kemarau berpanjangan hampir 7 bulan sehinggakan suatu ketika Perlis pernah mencecah 40.1°C, suhu tetinggi pernah dicatatkan di Malaysia.

Fenomena  ini telah meninggalkan kesan yg amat mendalam kepada rakyat Malaysia, negeri Perlis khususnya. Namun krisis air pada tahun 1996 (2 tahun pre- El Nino) sebenarnya lebih memberikan impak yang sangat besar pada sebuah sekolah di Perlis.

Rutin harian pelajar asrama telah berubah dengan sekelip mata. Ketiadaan bekalan air menyebabkan ramai yang ponteng sekolah. Jika ada yang ke sekolah sekalipun, pastinya telah pergi ke Masjid Kg. Darat yang letaknya 2km dari sekolah untuk mandi atau pun mandi di tandas sekolah, belakang bilik kemahiran hidup dan Kebun Orkid. Tidak kurang juga yang hanya memberus gigi di pancuran hujan dari bumbung asrama. Air di dalam bilik tangki pula telah tercemar dikerjakan Jessie Labi​ & Eddy. Namun aksi lagenda Pok Lau (bukan nama sebenar) mandi pagi pastinya mencuri tumpuan dengan gaya kuak lentangnya di dalam kolam ikan.

Ketiadaan bekalan air selama 3 hari memaksa warden mengambil keputusan membenarkan pelajar perempuan pulang ke rumah. Maklumlah perempuan jika 3 hari tidak mandi bau masamnya sedikit berbeza berbanding lelaki.

Pelajar-pelajar lelaki yg masih tinggal menjadi tidak keruan akibat daripada mandi yang tidak cukup. Ulangkaji waktu malam telah diabaikan. Mungkin Cuma Izali Wali​ dan Safi sahaja yg pergi ke sekolah. Pelajar-pelajar lain ada yang bermain carom. Ada juga yang menonton siri  Lois & Clark: The New Adventures of Superman diketuai Azril Alias bersama pengikut-pengikut tegar seperti  Azzaham Hamzah​, Chamber Farizal B Abdullah​, Pun Shaiful Nizam​, Khairil Anuar​, Yon Musa, Wan Sanusi, Fahmi Payat & Along.

Kemeriahan menonton tv dan bermain carom tidak berpanjangan apabila Cikgu Shahrudin (Ultraman) & Md. Noor (Kecik) menggempur asrama. Ramai juga yang diberkas namun Azril Alias, Azzaham Hamzah & Chamber dapat meloloskan diri. Malang buat Tuan Aziz yang datang untuk memberi amaran tentang serbuan turut tertangkap dan dituduh bersekongkol menonton tv.

Setelah beberapa lagi pelajar iaitu Syed Akmal​, Mohd Shaffik Affandi Zainol​ yg mengikut Puit Saifulrizal Noh​ pulang daripada mandi di rumahnya, semua berkumpul bersama. Keadilan untuk Tuan Aziz harus ditegakkan. Jika dia disabitkan bersalah, tindakan buang asrama akan dikenakan kerana seminggu sebelum itu dia telah digantung seminggu kerana tertangkap ketika menghisap rokok.


Satu pakatan yang terdiri daripada 60 orang pengikut diketuai Anuar Ultraman & Pak Junus sepakat menggempur rumah warden (Cikgu Shahrudin Ultraman) untuk mendapatkan keadilan bagi tuan Aziz. Anuar Ultraman sengaja dijadikan ketua kerana namanya seakan2 Cikgu Shahrudin. Azilawandi (Abg John) dan beberapa orang Geng 7 Beradik termasuk Fahmy Ismet Ulamraja​ dan pelajar tingkatan 1 & 2 tidak mahu terlibat.

Rumah warden digempur dan laungan keadilan bergema di jendela rumah warden. Cikgu Md. Noor Kecik hanya tersenyum kerana rumahnya tidak digempur. Setelah warden bertanyakan tujuan sebenar kedatangan 60 pejuang ke rumahnya, dengan tidak semena-mena Si Buntat bersuara mempersoalkan tindakan warden yang kononnya telah menampar seorang pelajar bernama Shah ketika serbuan dilakukan.

Cikgu Shahrudin dengan mukanya yang merah padam telah menunjukkan wajahnya yang sebenar dengan bertukar menjadi Ultraman Taro. “Hangpa Pi Balikkk!!”. Penangan Ultraman membuatkan pejuang-pejuang lari bertempiaran di padang. Kelajuan larian Chamber yang tempang juga dilihat seperti lipas kudung, ibarat Usop Wilcha dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah. Keadilan untuk Tuan Aziz sudah dilupakan. Hanya menyelamatkan diri daripada kebinasaan yang menjadi ikhtiar meneruskan hidup.

Bilik-bilik dorm menjadi tempat persembunyian. Namun kemurkaan Ultraman gagal dibendung. Asrama digempur sekali lagi mencari 60 org petualang-petualang tadi. Yang berani berdepan hanyalah kira-kira 28 orang. Selebihnya berpura-pura mati (tidur) seperti Khusairi Had​ dan ada juga masih dalam keadaan terkejut. Tidak pernah bencana sebegitu rupa melanda asrama. Ultraman yang sepatutnya menjadi pelindung kini menjadi ancaman manusia sejagat.

Setelah disoal seorang demi seorang akhirnya Shah dijadikan kambing hitam. Kata-kata Si Buntat telah merobek keadilan untuk Tuan Aziz. Kini Shah dipersalahkan. Shah punca segala-galanya.

Seorang guru bahasa melayu yg merupakan kakak ipar kepada seorang suspek turut dipanggil lalu dijadikan tebusan. Episod siasatan berlarutan sehingga pukul 2 pagi. Krisis air juga telah dilupakan. Yang menjadi bualan hanyalah lagenda 60 orang pejuang yang tewas di tangan Ultraman Taro. Betapa masalah bekalan air boleh menjadi krisis yg secara tidak langsung mengancam kelangsungan spesis manusia.


*gelaran ultraman diberikan kerana rambut cikgu yg tajam2 & terpacak tak ubah spt ultraman taro

Reformasi

Saat politik negara dalam keadaan kucar-kacir dengan beberapa menteri kabinet digugurkan, teringat kembali pada tahun 1998 ketika Anwar Ibrahim menghadapi tuduhan liwat yg pertama dan laungan reformasi dilaungkan di setiap pelusuk negara. Ketika itu juga sebuah sekolah di Perlis tidak terlepas daripada gelombang reformasi. 'Reformasi Nasi Tomato.'
Seperti biasa menjelang peperiksaan PMR, SPM & STPM pihak sekolah akan menganjurkan sembahyang hajat yang dilakukan di dewan makan asrama sekolah. Berbezanya tahun itu, pelajar-pelajar asrama dijanjikan Nasi Tomato sebagai hidangan supper selepas solat hajat. Pelajar-pelajar asrama yang sebelum itu hanya menikmati biskut kering untuk supper nyata gembira belaka dengan perkhabaran nasi tomato.
Hidangan makan malam ikan kering, kuah sambal, sayur kobis dan pisang tidak diendahkan kerana masing-masing sanggup berlapar supaya dapat menikmati nasi tomato sekenyang-kenyangnya.

Akhirnya saat yang ditunggu telah tiba. Selesai saja imam membacakan doa, masing-masing berebut-rebut ke kaunter dewan makan untuk mendapatkan nasi tomato. Tetapi nyata keputusan tidak menikmati makan malam sebelum itu memakan diri masing-masing. Nasi tomato yang disediakan tidak mencukupi kerana telah diagihkan kepada guru-guru dan pelajar sekolah terlebih dahulu. Hanya seorang pelajar asrama yang dapat nasi tomato; 'Zul' (bukan nama sebenar) yang merupakan adik kesayangan cikgu sejarah.


Episod tunjuk perasaan pun bermula walaupun itu bukan kali pertama. 2 tahun sebelum itu rumah warden pernah digegar oleh 60 orang pelajar, diketuai Anuar Ultraman.
Nama-nama seperti Zaili & Ane menjadi pendokong reformasi. Walaupun cuba ditenangkan oleh Mat Korie Torres, dewan makan digegar dengan laungan 'Mana Nasi Tomato?’ Hantu Nasi Tomato telah meresap ke dalam diri Zaili dan Ane, juga penyokong-penyokong tegar sehinggakan doa dan jampi tidak lagi mampu menghalang mereka. Makcik-makcik kantin; Kak Timah Laser dan Mak Jabir Kg. Belukar yang sebelum itu menyediakan nasi lemak breakfast yang sedap setiap pagi selasa diherdik dan diajukan pertanyaan berunsur dendam sehingga menitiskan air mata. Tunjuk perasaan berlarutan semalaman sehingga rasa lapar berganti rasa mengantuk.
Keesokan paginya, episod reformasi yang disangkakan sudah tamat rupanya berlarutan. Kepingan-kepingan siling dalam dorm ditanggalkan dan dijadikan sepanduk yang tertera 'Reformasi Nasi Tomato' & 'Mana Nasi Tomato?' Sepanduk yang sebelum itu diletakkan di depan bilik penyelia asrama kemudiannya berpindah menghiasi parking, tandas sekolah & bilik pengetua dan bertahan seminggu lamanya.
Ada yang menganggap itu semua kerja sia-sia. Ada juga yang menganggap itu hanyalah jenaka. Namun perjuangan Zaili dan Ane nyata tidak sia-sia. Annual Dinner yang sudah bertahun-tahun lamanya diadakan di Dewan Makan Asrama telah berpindah ke Hotel Putra Palace. Pelbagai anugerah diberikan seperti Anugerah Pelajar Terbaik (Mat Khusairi Had) dan Pelajar Paling Lama Tinggal di asrama (Hasfanizam & Azmari). Tidak lupa gelaran 'Kalut Di Situ' kepada seorang pelajar yang tiba-tiba muncul dari mulut Azmari Ahmad lantas menimbulkan kekecohan yang berlarutan hingga ke dorm. Pelajar asrama juga dapat menikmati lawatan sambil belajar ke KL, JB, Melaka dan Seremban melawat IPTA & IPTS.
Walaupun perjuangan reformasi sebenar di luar sana gagal, namun sekurang-kurangnya Reformasi Nasi Tomato berjaya.

*tahun-tahun berikutnya tiada lagi annual dinner di hotel
* 'Kalut Di Situ' amat popular di Perlis sekitar 90-an apabila sering digunakan oleh pengulas bola sepak radio untuk menggambarkan kekalutan di dlm kotak penalti.