Wednesday, August 12, 2015

Reformasi

Saat politik negara dalam keadaan kucar-kacir dengan beberapa menteri kabinet digugurkan, teringat kembali pada tahun 1998 ketika Anwar Ibrahim menghadapi tuduhan liwat yg pertama dan laungan reformasi dilaungkan di setiap pelusuk negara. Ketika itu juga sebuah sekolah di Perlis tidak terlepas daripada gelombang reformasi. 'Reformasi Nasi Tomato.'
Seperti biasa menjelang peperiksaan PMR, SPM & STPM pihak sekolah akan menganjurkan sembahyang hajat yang dilakukan di dewan makan asrama sekolah. Berbezanya tahun itu, pelajar-pelajar asrama dijanjikan Nasi Tomato sebagai hidangan supper selepas solat hajat. Pelajar-pelajar asrama yang sebelum itu hanya menikmati biskut kering untuk supper nyata gembira belaka dengan perkhabaran nasi tomato.
Hidangan makan malam ikan kering, kuah sambal, sayur kobis dan pisang tidak diendahkan kerana masing-masing sanggup berlapar supaya dapat menikmati nasi tomato sekenyang-kenyangnya.

Akhirnya saat yang ditunggu telah tiba. Selesai saja imam membacakan doa, masing-masing berebut-rebut ke kaunter dewan makan untuk mendapatkan nasi tomato. Tetapi nyata keputusan tidak menikmati makan malam sebelum itu memakan diri masing-masing. Nasi tomato yang disediakan tidak mencukupi kerana telah diagihkan kepada guru-guru dan pelajar sekolah terlebih dahulu. Hanya seorang pelajar asrama yang dapat nasi tomato; 'Zul' (bukan nama sebenar) yang merupakan adik kesayangan cikgu sejarah.


Episod tunjuk perasaan pun bermula walaupun itu bukan kali pertama. 2 tahun sebelum itu rumah warden pernah digegar oleh 60 orang pelajar, diketuai Anuar Ultraman.
Nama-nama seperti Zaili & Ane menjadi pendokong reformasi. Walaupun cuba ditenangkan oleh Mat Korie Torres, dewan makan digegar dengan laungan 'Mana Nasi Tomato?’ Hantu Nasi Tomato telah meresap ke dalam diri Zaili dan Ane, juga penyokong-penyokong tegar sehinggakan doa dan jampi tidak lagi mampu menghalang mereka. Makcik-makcik kantin; Kak Timah Laser dan Mak Jabir Kg. Belukar yang sebelum itu menyediakan nasi lemak breakfast yang sedap setiap pagi selasa diherdik dan diajukan pertanyaan berunsur dendam sehingga menitiskan air mata. Tunjuk perasaan berlarutan semalaman sehingga rasa lapar berganti rasa mengantuk.
Keesokan paginya, episod reformasi yang disangkakan sudah tamat rupanya berlarutan. Kepingan-kepingan siling dalam dorm ditanggalkan dan dijadikan sepanduk yang tertera 'Reformasi Nasi Tomato' & 'Mana Nasi Tomato?' Sepanduk yang sebelum itu diletakkan di depan bilik penyelia asrama kemudiannya berpindah menghiasi parking, tandas sekolah & bilik pengetua dan bertahan seminggu lamanya.
Ada yang menganggap itu semua kerja sia-sia. Ada juga yang menganggap itu hanyalah jenaka. Namun perjuangan Zaili dan Ane nyata tidak sia-sia. Annual Dinner yang sudah bertahun-tahun lamanya diadakan di Dewan Makan Asrama telah berpindah ke Hotel Putra Palace. Pelbagai anugerah diberikan seperti Anugerah Pelajar Terbaik (Mat Khusairi Had) dan Pelajar Paling Lama Tinggal di asrama (Hasfanizam & Azmari). Tidak lupa gelaran 'Kalut Di Situ' kepada seorang pelajar yang tiba-tiba muncul dari mulut Azmari Ahmad lantas menimbulkan kekecohan yang berlarutan hingga ke dorm. Pelajar asrama juga dapat menikmati lawatan sambil belajar ke KL, JB, Melaka dan Seremban melawat IPTA & IPTS.
Walaupun perjuangan reformasi sebenar di luar sana gagal, namun sekurang-kurangnya Reformasi Nasi Tomato berjaya.

*tahun-tahun berikutnya tiada lagi annual dinner di hotel
* 'Kalut Di Situ' amat popular di Perlis sekitar 90-an apabila sering digunakan oleh pengulas bola sepak radio untuk menggambarkan kekalutan di dlm kotak penalti.

No comments:

Post a Comment