Wednesday, August 12, 2015

Krisis Air & Amukan Ultraman Taro

Sedang krisis air Selangor masih berlarutan dan dipolitikkan, terkenang kembali sekitar lewat 90an di negeri Perlis yang tidak terlepas daripada menghadapi krisis bekalan air terutamanya pada tahun 1998. Fenomena El Nino yang melanda negara mengakibatkan kemarau berpanjangan hampir 7 bulan sehinggakan suatu ketika Perlis pernah mencecah 40.1°C, suhu tetinggi pernah dicatatkan di Malaysia.

Fenomena  ini telah meninggalkan kesan yg amat mendalam kepada rakyat Malaysia, negeri Perlis khususnya. Namun krisis air pada tahun 1996 (2 tahun pre- El Nino) sebenarnya lebih memberikan impak yang sangat besar pada sebuah sekolah di Perlis.

Rutin harian pelajar asrama telah berubah dengan sekelip mata. Ketiadaan bekalan air menyebabkan ramai yang ponteng sekolah. Jika ada yang ke sekolah sekalipun, pastinya telah pergi ke Masjid Kg. Darat yang letaknya 2km dari sekolah untuk mandi atau pun mandi di tandas sekolah, belakang bilik kemahiran hidup dan Kebun Orkid. Tidak kurang juga yang hanya memberus gigi di pancuran hujan dari bumbung asrama. Air di dalam bilik tangki pula telah tercemar dikerjakan Jessie Labi​ & Eddy. Namun aksi lagenda Pok Lau (bukan nama sebenar) mandi pagi pastinya mencuri tumpuan dengan gaya kuak lentangnya di dalam kolam ikan.

Ketiadaan bekalan air selama 3 hari memaksa warden mengambil keputusan membenarkan pelajar perempuan pulang ke rumah. Maklumlah perempuan jika 3 hari tidak mandi bau masamnya sedikit berbeza berbanding lelaki.

Pelajar-pelajar lelaki yg masih tinggal menjadi tidak keruan akibat daripada mandi yang tidak cukup. Ulangkaji waktu malam telah diabaikan. Mungkin Cuma Izali Wali​ dan Safi sahaja yg pergi ke sekolah. Pelajar-pelajar lain ada yang bermain carom. Ada juga yang menonton siri  Lois & Clark: The New Adventures of Superman diketuai Azril Alias bersama pengikut-pengikut tegar seperti  Azzaham Hamzah​, Chamber Farizal B Abdullah​, Pun Shaiful Nizam​, Khairil Anuar​, Yon Musa, Wan Sanusi, Fahmi Payat & Along.

Kemeriahan menonton tv dan bermain carom tidak berpanjangan apabila Cikgu Shahrudin (Ultraman) & Md. Noor (Kecik) menggempur asrama. Ramai juga yang diberkas namun Azril Alias, Azzaham Hamzah & Chamber dapat meloloskan diri. Malang buat Tuan Aziz yang datang untuk memberi amaran tentang serbuan turut tertangkap dan dituduh bersekongkol menonton tv.

Setelah beberapa lagi pelajar iaitu Syed Akmal​, Mohd Shaffik Affandi Zainol​ yg mengikut Puit Saifulrizal Noh​ pulang daripada mandi di rumahnya, semua berkumpul bersama. Keadilan untuk Tuan Aziz harus ditegakkan. Jika dia disabitkan bersalah, tindakan buang asrama akan dikenakan kerana seminggu sebelum itu dia telah digantung seminggu kerana tertangkap ketika menghisap rokok.


Satu pakatan yang terdiri daripada 60 orang pengikut diketuai Anuar Ultraman & Pak Junus sepakat menggempur rumah warden (Cikgu Shahrudin Ultraman) untuk mendapatkan keadilan bagi tuan Aziz. Anuar Ultraman sengaja dijadikan ketua kerana namanya seakan2 Cikgu Shahrudin. Azilawandi (Abg John) dan beberapa orang Geng 7 Beradik termasuk Fahmy Ismet Ulamraja​ dan pelajar tingkatan 1 & 2 tidak mahu terlibat.

Rumah warden digempur dan laungan keadilan bergema di jendela rumah warden. Cikgu Md. Noor Kecik hanya tersenyum kerana rumahnya tidak digempur. Setelah warden bertanyakan tujuan sebenar kedatangan 60 pejuang ke rumahnya, dengan tidak semena-mena Si Buntat bersuara mempersoalkan tindakan warden yang kononnya telah menampar seorang pelajar bernama Shah ketika serbuan dilakukan.

Cikgu Shahrudin dengan mukanya yang merah padam telah menunjukkan wajahnya yang sebenar dengan bertukar menjadi Ultraman Taro. “Hangpa Pi Balikkk!!”. Penangan Ultraman membuatkan pejuang-pejuang lari bertempiaran di padang. Kelajuan larian Chamber yang tempang juga dilihat seperti lipas kudung, ibarat Usop Wilcha dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah. Keadilan untuk Tuan Aziz sudah dilupakan. Hanya menyelamatkan diri daripada kebinasaan yang menjadi ikhtiar meneruskan hidup.

Bilik-bilik dorm menjadi tempat persembunyian. Namun kemurkaan Ultraman gagal dibendung. Asrama digempur sekali lagi mencari 60 org petualang-petualang tadi. Yang berani berdepan hanyalah kira-kira 28 orang. Selebihnya berpura-pura mati (tidur) seperti Khusairi Had​ dan ada juga masih dalam keadaan terkejut. Tidak pernah bencana sebegitu rupa melanda asrama. Ultraman yang sepatutnya menjadi pelindung kini menjadi ancaman manusia sejagat.

Setelah disoal seorang demi seorang akhirnya Shah dijadikan kambing hitam. Kata-kata Si Buntat telah merobek keadilan untuk Tuan Aziz. Kini Shah dipersalahkan. Shah punca segala-galanya.

Seorang guru bahasa melayu yg merupakan kakak ipar kepada seorang suspek turut dipanggil lalu dijadikan tebusan. Episod siasatan berlarutan sehingga pukul 2 pagi. Krisis air juga telah dilupakan. Yang menjadi bualan hanyalah lagenda 60 orang pejuang yang tewas di tangan Ultraman Taro. Betapa masalah bekalan air boleh menjadi krisis yg secara tidak langsung mengancam kelangsungan spesis manusia.


*gelaran ultraman diberikan kerana rambut cikgu yg tajam2 & terpacak tak ubah spt ultraman taro

No comments:

Post a Comment